Dalami Ilmu ICT Anda !

DUNIA IT
   
Kenali Technologi WiFi
Kenali SLI
Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang DVD
eSATA - Standard Baru Storan Luaran
Teknologi RAM Termaju
Robot, Bijak Tetapi Bahaya
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Robot, Bijak Tetapi Bahaya

PENGETAHUAN robotik dan kecerdasan buatan semakin berkembang pesat dan kadang­kadang kita tidak menyangka kemajuan teknologi yang bakal di­capai oleh kepakaran manusia dan kemodenan ilmu. Pada masa sekarang, kebanyakan robot yang dicipta adalah untuk digunakan dalam sektor industri. Robot-robot diperlukan untuk mengilang pelbagai jenis produk, yang kecil hingga yang besar, daripada barang makanan sehinggalah kepada produk teknologi canggih seperti kereta dan cip peranti elektronik. Robot­-robot rutinnya diaplikasikan untuk memateri tin, mengisi sos di dalam botol, menyapu cat pada kereta, memasang skru pada perabot dan pelbagai tugasan industri lain. Segalanya dilakukan secara au­tomatik, minda robot sedia di program untuk melakukan apa-apa sahaja.



Merujuk etimologi, perkataan "ro­bot" itu berasal daripada bahasa Czech, iaitu robotovat yang beerti “mengham­bakan diri”. la dicipta oleh seorang pe­nulis bernama Karel Capek pada tahun 1920an. Mengikut istilah saintifiknya pula, sebuah robot merupakan peranti elektro mekanikal ( mesin yang berfungsi dengan kuasa elektrik ) atau biomekani­kal ( berfungsi dengan kuasa biologi ) yang boleh bertindak mengikut program asal manusia. Walau bagaimanapun buat masa ini, belum ada lagi robot yang boleh menghasilkan `spesiesnya' sendiri tanpa bantuan manusia.

Kerja-kerja robotik selalu­nya melibatkan tugasan tiga D iaitu Dull, Dirty, and Dangerous yang bermaksud Hambar, Kotor, dan Bahaya. Kebiasaannya, robot digunakan untuk melakukan kerja hambar yang berulahg-ulang, seperti menampal la­bel kertas pada tin makanan dalam landasan produksi kilang. Manusia tentu kebosanan jika me­nampal label jenama sardin pada tin berjam-jam hingga beratus ribu karton. Tetapi robot tidak kisah membuat kerja berulang­ulang malah tidak kompelin sepatah pun.



Robot-robot juga kerap digunakan dalam situasi kotor dan berisiko tinggi. Contoh aplikasi robot adalah di dalam kawasan yang menyebarkan gas ba­haya (seperti bencana kebocoran gas sulfur) atau mempunyai atmosfera yang dicemari virus atau bakteria, kawasan asidik atau beralkali tinggi, kawah gunung berapi, ombak kuat, dikerumuni haiwan buas, gurun yang bahang, atau ke kancah peperangan. Robot-robot seperti iRobot Packbot dan Foster-Miller TALON, contohnya, digunakan untuk melupuskan born dalam perang Iraq dan Afghanistan. Kerja-kerja seperti itu, jika dihantar manusia untuk menjadi sukarela tentu tidak ada yang mahu menjadi sukarela kerana ia boleh mengancam nyawa.

Robot juga sering digunakan da­lam projek penerokaan angkasa lepas, seperti projek National Aeronautics and Space Administration ( NASA ) ke Marikh. Satelit Measat Malaysia yang baru-baru ini dilancarkan dioperasi oleh robot dan peranti kawalan. Kelak, apabila angkasawan Malaysia mula dihantar ke angkasa lepas, beliau juga bakal bergantung kepada robot untuk banyak eksperimen angkasa, malah robot dan otak elektro­nik jugalah yang akan membantu beliau bergerak, melupuskan barang buangan, menentukan hala tuju orbit stesen ang­kasa lepas, berkomunikasi dengan bumi, dan mencatu oksigen untuk pernafasan.

Teknologi robotik mutakhir mempunyai banyak ruang untuk diper­kembangkan. Kebarangkaliannya tiada penghujung. Akhir ini, banyak robot ge­nerasi baru dibina untuk meniru bentuk manusia atau binatang, bergerak dan berfikir serta menunjukkan mimik muka. Robot Asimo ciptaan Honda, contoh­nya, boleh berjatan dengan dua kaki dan mengimbangkan tubuhnya. Aibo pula boleh berinteraksi dan bergerak seperti anjing, dan heksapod pula mirip serangga. Kini sudah ada robot yang boleh bermain piano, atau melukis pada kanvas, atau bermain catur, atau menyanyi.

Terdapat juga robot-robot dalam bentuk maya, dipanggil robot internet, atau internetbot. Robot jenis ini yang paling terkenal ialah robot kepunyaan Google (Googlebot), yang menerawang alam maya internet, mengumpul dan merekodkan kata kunci untuk memudahkan pencarian pengguna.

Dalam dunia perubatan juga robot-robot semakin giat digunakan. Sudah wujud robot-robot yang ber­bentuk tangan atau kaki manusia, dengan endoskeleton dilitup prostetik dan dikawal oleh peranti pneumatik atau hidraulik dan dicipta untuk membantu hidup orang yang kudung tangan atau kaki. Tangan atau kaki palsu yang dikawal oleh mekanisme robotik itu kemudiannyadipasangkan ketubuh, dan boleh bertindak seperti tangan atau kaki biasa, dikawal terus oleh sistem saraf atau neuron otak secara semula jadi. Para pesakit yang memakainya sering melaporkan bahawa dengan tangan atau kaki robotik palsu itu, mereka boleh hidup seperti manusia normal yang lain, dan apabila sudah biasa, mereka seperti tidak sedar kehadirannya.

Robot-robot juga sudah me­masuki pasaran domestik. Selain Aibo, terdapat juga robot anjing yang boleh dijadikan haiwan peliharaan. Syarikat Sweden Electrolux pula telah memasarkan penyedut hampagas yang dipanggil Trilobite. la bukan seperti penyedut hampagas yang lain, Trilobite boleh dibiarkan sendirian di lantai rumah dan ia akan merayap menyedut habuk secara automatik. la akan mengatur rancangan sendiri, mengelak halangan ( perabot atau barang besar di lantai ), dan akan pulang semula ke rumahnya sendiri setelah kerja selesai bagi mengecas kembali baterinya.



Baru-baru ini, Kerajaan Korea Selatan telah menyebarkan wawasan, bahawa sebelum tahun 2020, dalam setiap rumah rakyatnya akan wujud sekurang- kurangnyasatu robot. Mungkin sedekad atau sekurun lagi, robot akan menjadi perkara biasa dengan adanya robot atau android yang berbentuk humanoid, yang boleh diajak berbual, dan boleh berfikir serta berjenaka, marah, dan merajuk. Ramalan-ramalan seperti ini boleh dilihat di dalam fiksyen sains oleh Asimov dan Clarke serta ramai lagi pengkarya sci-fi. Misalnya Doraemon, watak kartun popular rekaan Fujiko Fujio itu juga adalah sebuah robot, bijak berceloteh dan berjenaka dengan temannya Nobita.

Namun begitu, kemajuan tek­nologi robotik yang tidak terkawal boleh membahayakan manusia. Filem Hollywood Terminator arahan James Cameron, contohnya, membayangkan kemusnahan dunia akibat bertarung dengan robot android yang lut senjata. Filem Artificial Inteligence arahan Steven Spielberg pula mem­bayangkan manusia yang me­nindas kaum robot. Sesungguhnya, se­galanya mung­kin berlaku. Pada masa kini, robot dan peranti kawalan elektronik sudah pun digunakan untuk menentu hala tuju bom dan peluru berpandu ketenteraan. Ter­dapat robot yang mengkaji maklumat satelit untuk mengintip pergerakan manusia, dan ada juga robot yang dihantar menjadi perisik.

Mengikut sejarawan, manusia pertama yang terbunuh akibat robot adalah sama ada seorang lelaki Jepun bernama Kenji Urada ( 37 tahun ) ataupun lelaki Amerika bernama Robert Williams dari Michigan ( 25 tahun ). Dalam kes Kenji Urada, beliau bekerja di kilang Kawasaki dan dinyatakan telah masuk ke kandang robot untuk melakukan pembersihan. Akibat tergesa-gesa, beliau terlupa untuk mematikan robot sepenuhnya. Apabila robot itu bergerak, beliau tidak sempat menyelamatkan diri.

Sesungguhnya, merekacipta robot adalah tugas yang sangat kompleks. Se­lain pengetahuan teknikal, banyak etika dan moral yang perlu difikirkan. Con­tohnya, ahli sains boleh mencipta robot yang paling moden tetapi tanpa kawalan dan pemantauan, tidak mustahil kita, manusia sendiri yang akan terperangkap dengan teknologi di masa depan. Selain itu, ahli sains juga boleh mencipta robot yang meniru fizik dan biologi makhluk Tuhan, tetapi sampai bila pun tidak akan mampu menandingi ciptaan Tuhan. Alangkah benar, seluas-luas ilmu janaan manusia, ini hanyalah setitik daripada pengetahuan-Nya.

Sumber: Majalah PC    Edisi: Ogos 2006

Top

Bahagian Latihan & Penyelidikan, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri
2012