|
|
|
 |
|
Trend Micro Perkenal Pakej
Keselamatan Internet 2007
TREND Micro Malaysia Sdn Bhd (Trend Micro), syarikat yang terbabit
dalam penyediaan rangkaian antivirus, perisian keselamatan kandungan
internet dan perkhidmatan, memperkenalkan perisian pakej keselamatan
internet versi 2007 khususnya untuk pengguna tempatan.
Pelancaran pakej keselamatan internet 2007 itu turut dilengkapi
dengan enjin PC cillin Trend Micro, perlindungan anti malware dan
ciri perlindungan yang diperkenalkan dalam industri bagi berhadapan
dengan ancaman internet masa kini.
Antara ancaman internet yang dihadapi pengguna pada masa kini adalah
rootkits, spyware, phishing, spam, penggodam, virus, serangan WiFi
serta telefon pintar dan masalah kecurian identiti pemilik.
Pengarah Pemasaran Serantau Asia Pasifik segmen Pengguna/SoHo Trend
Micro Pte Ltd, Eric Chong, berkata pakej keselamatan 2007 yang
ditawarkan kepada pengguna serta pejabat kecil dan pejabat kediaman
(SoHo) itu turut menyediakan nilai kepada pasaran apabila pengguna
diperkenalkan dengan model langganan yang lebih berkesan.
Beliau berkata, model langganan terbabit tidak memerlukan pemilik
pakej itu untuk menunggu sepanjang tahun bagi mendapatkan ciri
peningkatan pakej keselamatan internet terbabit.
"Pemiliknya akan dimaklumkan pada setiap masa berhubung perkhidmatan
baru yang ditawarkan termasuk ciri terkini lain yang disediakan.
“Mereka boleh mendapatkannya menerusi proses muat turun di portal
web TrendSecure tanpa dikenakan kos tambahan,” katanya dalam satu
kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Chong berkata, perkhidmatan TrendSecure turut dilengkapi dengan
aspek keselamatan penguncian maklumat dalaman yang dilakukan secara
inskripsi apabila aset digital dicuri atau hilang.
Trend Micro turut menyediakan ciri sokongan panggilan telefon tanpa
had ke pusat perkhidmatannya untuk pasaran di negara ini termasuk ke
peringkat global.
Menerusi versi 2007 itu, ia turut dilengkapi dengan aspek
peningkatan keselamatan bagi fail dan data digital serta menyediakan
perlindungan daripada kecurian identiti peribadi yang tidak terhad
kepada kecurian siber tetapi termasuk kehilangan komputer notebook.
Ia menawarkan khidmat pelanggan secara percuma dan memastikan
sambungan yang lebih selamat disediakan kepada sistem hotel,
lapangan terbang, gerai komputer awam dan lokasi kesediaan WiFi.
Selain itu, pakej keselamatan internet 2007 itu mempunyai ciri
perlindungan kediaman termaju seperti berkemampuan menapis kandungan
web, aspek keupayaan firewall untuk peribadi dan pengurusan secara
berpusat.
Pakej yang dilengkapi dengan TrendSecure, Trend Micro itu mempunyai
perkhidmatan keselamatan dalam talian yang boleh digunakan sama ada
di rumah atau di mana-mana saja di dunia.
Yuran langganan tahunan yang ditawarkan bagi perisian keselamatan
internet Trend Micro 2007 dan dilengkapi bersama TrendSecure itu
adalah RM188.
Sumber: Majalah PC
Edisi: November 2006
Top
|
|